Isu kepupusan hidupan liar acapkali dibincangkan masyarakat dunia yang sebahagian besarnya berpunca daripada pembangunan. Ia terutamanya yang membabitkan penerokaan hutan secara berleluasa hingga menjejaskan habitat semulajadi haiwan. Lebih membimbangkan ancaman terhadap hidupan liar yang menghuni di
kawasan tersebut hingga mengakibatkan haiwan-haiwan berkenaan terpaksa
mencari tempat baru termasuk menceroboh kawasan-kawasan berpenduduk.
Menurut kajian yang dijalankan, kehilangan atau kepupusan pelbagai
spesies tumbuhan dan haiwan dalam persekitaran semulajadi dunia adalah
di tahap yang sangat membimbangkan. Hal ini banyak dihubungkaitkan dengan kemusnahan sumber hutan yang tidak terkawal dan bersistematik. Keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan dan kerisauan di kalangan masyarakat global.
Atas faktor ini juga Yayasan Sime Darby begitu giat menyokong
program-program pemuliharaan terutama haiwan yang diancam kepupusan
seperti di Santuari Badak Sumbu Borneo di Pusat Perlindungan Hidupan
Liar Tabin, Lahad Datu, Sabah. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yatela Zainal Abidin, berkata, sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan dalam program Santuari Badak Sumbu Borneo.
"Komitmen selama tiga tahun yang bermula sejak tahun 2009 dilakukan
untuk membiayai pembinaan pagar-pagar sekitar kawasan perlindungan dan
kemudahan menempatkan badak sumbu berkenaan. "Ia dilakukan untuk memastikan badak sumbu Sumatera yang berada di
kawasan perlindungan dapat merasai suasana seperti habitat semula
jadinya," katanya.
Yatela menambah, badak sumbu Sumatera yang berada dalam kawasan
perlindungan tersebut turut diselia oleh pakar-pakar berpengalaman dalam
memastikan kesejahteraan haiwan berkenaan. Beliau yakin program pemuliharaan badak sumbu berkenaan mampu
menyelamatkan spesies tersebut selain meningkatkan lagi kadar kelahiran
badak sumbu jenis Sumatera. Selain memberi faedah kepada badak sumbu Sumatera, beliau menambah,
ia juga dapat melindungi dan memulihara pelbagai flora serta fauna yang
terdapat di kawasan Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin.
Menurutnya, Yayasan Sime Darby turut komited dalam memastikan haiwan terancam di Malaysia dapat dipulihara melalui Program Big9. Haiwan-haiwan tersebut meliputi orang utan, gajah, monyet proboscis, harimau Malaya, beruang matahari, burung enggang, harimau bintang dan
seladang banteng.