Friday 14 September 2012

ISU 2 : KEMUSNAHAN HUTAN KINI PALING MEMBIMBANGKAN

        

Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) melaporkan, sekurang-kurangnya 400 kilometer persegi hutan Borneo lesap permukaan bumi setiap saat atau purata keluasan 24 padang bola sepak dalam tempoh lima minit.

Percaya atau tidak, kemusnahan alam sekitar di Pulau Borneo kini menjadi isu paling membimbangkan pada abad ini. Pulau Borneo yang mempunyai keluasan 740,000 kilometer (km) persegi atau dua kali ganda saiz Jerman adalah pulau ketiga terbesar di dunia. Ia dibahagi kepada tiga negara iaitu Brunei (6,000 km persegi), Malaysia (Sabah dan Sarawak) masing-masing 72,000 km persegi dan 124,500 km persegi, manakala Kalimantan, Indonesia (500,000 km persegi).

Penyelidikan mendapati kawasan hutan di Kepulauan Borneo pada 2005 hanya tinggal 50 peratus berbanding 75 peratus pada pertengahan 1980. Ini bermakna sepanjang tempoh itu, Borneo kehilangan hutan seluas 850,000 hektar setiap tahun. Jika trend ini berterusan, hutan Borneo hanya tinggal kurang dua pertiga daripada keluasan kepulauan berkenaan menjelang 2020.

Di antara 2000 hingga 2002, kegiatan penerokaan hutan di Kalimantan melonjak kepada 1.2 juta hektar. Begitu juga di Sarawak dan Sabah menjadikan jumlah keseluruhan 1.3 juta hektar atau satu pertiga Switzerland berikutan pembukaan ladang kelapa sawit secara besar-besaran, di samping pembalakan dan kebakaran.

Deklarasi ‘Heart of Borneo (HoB)’ atau Nadi Borneo yang dipersetujui kerajaan Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam pada Persidangan Diversiti Biologikal Kelapan di Brazil pada Mac 2006, menyaksikan tiga negara pada dasarnya bertujuan bekerjasama dalam mengurus, memelihara dan memulihara ekosistem rentas sempadan membabitkan ketiga-tiga negara berlandaskan prinsip pembangunan mapan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perlindungan.

Ketiga-tiga negara bersetuju bekerjasama memelihara kawasan hutan seluas kira-kira 2.5 juta hektar merentangi ketiga-tiga negara bermula dari Kinabatangan, Sabah sehingga ke Sebuku Sembakung, Kalimantan.

No comments:

Post a Comment