Friday 14 September 2012

ISU 4 : KEPUPUSAN BADAK JADI PERHATIAN DUNIA

 
Isu kepupusan hidupan liar acapkali dibincangkan masyarakat dunia yang sebahagian besarnya berpunca daripada pembangunan. Ia terutamanya yang membabitkan penerokaan hutan secara berleluasa hingga menjejaskan habitat semulajadi haiwan. Lebih membimbangkan ancaman terhadap hidupan liar yang menghuni di kawasan tersebut hingga mengakibatkan haiwan-haiwan berkenaan terpaksa mencari tempat baru termasuk menceroboh kawasan-kawasan berpenduduk. 

Menurut kajian yang dijalankan, kehilangan atau kepupusan pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan dalam persekitaran semulajadi dunia adalah di tahap yang sangat membimbangkan. Hal ini banyak dihubungkaitkan dengan kemusnahan sumber hutan yang tidak terkawal dan bersistematik. Keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan dan kerisauan di kalangan masyarakat global.

Atas faktor ini juga Yayasan Sime Darby begitu giat menyokong program-program pemuliharaan terutama haiwan yang diancam kepupusan seperti di Santuari Badak Sumbu Borneo di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, Sabah. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yatela Zainal Abidin, berkata, sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan dalam program Santuari Badak Sumbu Borneo.

"Komitmen selama tiga tahun yang bermula sejak tahun 2009 dilakukan untuk membiayai pembinaan pagar-pagar sekitar kawasan perlindungan dan kemudahan menempatkan badak sumbu berkenaan. "Ia dilakukan untuk memastikan badak sumbu Sumatera yang berada di kawasan perlindungan dapat merasai suasana seperti habitat semula jadinya," katanya.

Yatela menambah, badak sumbu Sumatera yang berada dalam kawasan perlindungan tersebut turut diselia oleh pakar-pakar berpengalaman dalam memastikan kesejahteraan haiwan berkenaan. Beliau yakin program pemuliharaan badak sumbu berkenaan mampu menyelamatkan spesies tersebut selain meningkatkan lagi kadar kelahiran badak sumbu jenis Sumatera. Selain memberi faedah kepada badak sumbu Sumatera, beliau menambah, ia juga dapat melindungi dan memulihara pelbagai flora serta fauna yang terdapat di kawasan Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin.

Menurutnya, Yayasan Sime Darby turut komited dalam memastikan haiwan terancam di Malaysia dapat dipulihara melalui Program Big9. Haiwan-haiwan tersebut meliputi orang utan, gajah, monyet proboscis, harimau Malaya, beruang matahari, burung enggang, harimau bintang dan seladang banteng.

No comments:

Post a Comment