Friday 14 September 2012

ISU 3 : HUTAN BAKAU PELINDUNG KAWASAN PANTAI

     

TRAGEDI tsunami pada 26 Disember 2004 membuktikan hutan paya bakau adalah tanaman penting di pesisiran pantai yang bertindak sebagai benteng penghalang untuk memecah ombak besar daripada sampai terus ke daratan.

Selain berperanan sebagai pelindung, hutan paya bakau juga kaya dengan sumber makanan, kerana ia adalah habitat ikan, ketam serta udang dan kekayaan sumber ini menjadikan ia tempat persinggahan burung migrasi.

Usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) giat dijalankan malah penanaman semula pokok bakau telah dilakukan di pesisir pantai. 

Bagi pemuliharaan alam sekitar, ia menjadi perkara penting yang mesti dilakukan secara berterusan berikutan keadaan persekitaran kini yang kian merosot sehingga menyebabkan pelbagai penyakit wujud sama ada di kalangan manusia, flora dan fauna. Menanganinya dengan melakukan projek pencegahan seperti membaik pulih sistem bio adalah lebih baik daripada merawatinya selepas dibinasakan.

Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Raja Barizan Raja Sulaiman, berkata bagaimanapun penanaman pokok bakau perlu ada perlindungan dan penelitian khusus seperti menggunakan pemecah ombak sebagai halangan awal di pesisir pantai untuk mengurangkan tenaga ombak yang mengancam anak pokok bakau ditanam.

Bagi memelihara kawasan rehat dan bertelur beratus spesis burung ketika proses migrasi, Profesor Madya (Ornithology dan Mammalogy) UM, Dr Rosli Ramli, pula berkata, ladang sawit juga boleh dijadikan kawasan persinggahan burung sekiranya sistem kepelbagaian bio diperluaskan dan digunakan sebaik mungkin.

No comments:

Post a Comment